
Tahukah anda betapa pentingnya membuat Penamaan terhadap polisi insurans atau sijil Takaful anda? Dengan membuat Penamaan, ia akan melindungi orang yang anda sayangi dan memastikan mereka menerima sokongan kewangan tanpa sebarang kelewatan dan kesulitan apabila anda meninggal dunia.Mainkan Peranan Anda, Lakukan penamaan hari ini juga!
Baca maklumat di bawah tentang penama…
Apakah yang dimaksudkan dengan penamaan?
Penamaan adalah satu proses di mana pemilik polisi insurans/pemegang sijil Takaful menamakan seseorang (penama) ke atas polisi/sijil mereka. Ia adalah hak yang diberi kepada pemegang polisi / sijil untuk memilih seseorang untuk menerima atau menguruskan wang yang dibayar oleh syarikat insurans/pengendali Takaful setelah anda meninggal dunia.
Siapakah yang saya boleh jadikan penama?
Anda boleh menamakan mana-mana individu selain daripada anda untuk menerima atau menguruskan manfaat polisi/Takaful setelah kematian anda dan anda juga dinasihatkan untuk memastikan bahawa penama mengetahui pelan yang telah anda sertai (tertakluk kepada terma dan syarat syarikat insurans/pengendali Takaful).
Adakah umur minimum untuk penama saya?
Tiada had umur untuk penama sebagai penerima manfaat. Namun demikian, jika penama anda di bawah umur (berumur 18 tahun ke bawah), dana akan dipegang oleh pemegang amanah. Untuk penama sebagai Wasi mesti berumur 18 tahun dan ke atas.
Bolehkah saya menamakan lebih daripada seorang penama?
Ya, anda boleh menamakan lebih daripada seorang penama dengan menetapkan bahagian/peratusan tertentu untuk diberikan kepada mereka.
Bagaimanakah caranya untuk membuat penamaan?
Anda boleh melengkapkan borang penamaan untuk membuat penamaan atau menukar penama dan menyerahkan borang tersebut kepada syarikat insurans/pengendali Takaful. Anda juga perlu menyatakan peratusan pembahagian setiap penama, kewarganegaraan, nombor kad pengenalan/sijil beranak/pasport, alamat, pekerjaan, nombor untuk dihubungi, hubungan dan sebagainya.
Sebagai alternatif, anda boleh mengisi borang penamaan melalui portal layan diri bagi syarikat insurans/pengendali Takaful masing-masing (jika ada).
Mengapakah saya perlu untuk membuat penamaan?
Tujuan penamaan adalah untuk memastikan manfaat kematian dapat dibayar dengan lebih pantas tanpa memerlukan Perintah Probet atau Surat Kuasa Mentadbir atau Perintah Pembahagian dan orang tersayang anda dapat menerima dana dengan cepat. Anda dinasihatkan supaya memaklumkan kepada penama bahawa mereka telah dinamakan untuk pelan yang anda sertai.
Apa akan berlaku sekiranya saya tidak membuat penamaan?
Sekiranya tiada penama, syarikat tidak akan membayar manfaat polisi/takaful sehingga penuntut memperolehi Perintah Probet atau Surat Kuasa Mentadbir atau Perintah Pembahagian, yang mungkin mengambil masa beberapa tahun.
Bilakah patut saya membuat penamaan?
Penamaan biasanya boleh dilakukan semasa permohonan polisi/sijil atau pada bila-bila masa, apabila perlu. Anda juga boleh mengubah penamaan anda bila-bila masa sepanjang tempoh polisi/sijil. Borang penamaan terkini yang dikemukakan dan dilaksanakan oleh syarikat insurans/pengendali Takaful anda akan menggantikan semua penamaan terdahulu, jika ada.
Apakah kelebihan membuat penamaan?
Kelebihan membuat penamaan termasuklah pemprosesan dan pembayaran tuntutan yang lebih cepat, mengelakkan kos dan kerumitan untuk memperolehi dokumen pihak ketiga dari pejabat tanah/mahkamah dan memastikan waris sah anda dapat mewarisi manfaat kematian .
Apakah terjadi sekiranya kematian Penama berlaku sebelum kematian pemegang polisi / sijil?
Sekiranya penama meninggal dunia sebelumpemegang polisi/sijil, anda dinasihatkan untuk memaklumkan kepada syarikat insurans/pengendali Takaful dengan membuat penamaan baru atau mengemaskini semula peratusan bahagian penama yang sedia ada.
Apakah terjadi sekiranya berlaku kematian penama selepas kematian pemegang polisi/sijil sebelum penama mendapat sebarang manfaat?
Sekiranya berlaku kematian terhadap mana-mana penerima manfaat anda selepas kematian anda tetapi sebelum mendapat bahagiannya daripada manfaat yang akan dibayar di bawah polisi/sijil berkenaan, bahagian penama tersebut boleh diserahkan kepada waris atau wakil sah penama.
Bolehkah saya membatalkan penamaan pada bila-bila masa?
Ya, anda boleh batalkan penamaan pada bila-bila masa dengan penamaan lanjut tetapi ianya bergantung kepada terma dan syarat.
Apakah perbezaan antara penama, penerima manfaat dan wasi?
Penama adalah orang yang dinamakan dalam polisi insurans/sijil Takaful untuk menerima atau mentadbir manfaat polisi/sijil (manfaat kematian sahaja) setelah kematian pemegang polisi/sijil.
Penerima manfaat adalah orang yang berhak menerima dan menikmati manfaat dari polisi/sijil.
Wasi ialah seseorang yang dilantik untuk mengurus dan mengagihkan manfaat kematian kepada pihak lain mengikut undang-undang yang berkaitan.
Sumber: MTA