KENAPA MERANGCANG HARTA DITUNTUT DALAM ISLAM

Merancang harta dalam Islam bukan sahaja terhad pada kaedah dan tatacara menguruskan perbelanjaan individu atau keluarga bagi kepentingan hidup di dunia sahaja, bahkan merangkumi bagaimana cara seseorang menguruskan harta dengan cara membuat perancangan yang teratur untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Menurut hadis yang bermaksud;

Dari Abi Bazrah al-Aslami katanya: Rasulullah SAW bersabda, tidak akan melangkah kaki anak adam pada hari kiamat sehingga ditanyakan mengenai umurnya pada apa ia habiskan, mengenai ilmunya pada apa ia lakukan, mengenai hartanya darimana ianya diperolehi dan ke mana ianya dibelanjakan dan mengenai tubuhnya pada apa ianya dihabiskan.

Berdasarkan hadis ini, merancang harta merupakan perkara yang amat penting dan sangat dititikberatkan dalam Islam. Seseorang Muslim pada hari kiamat tidak akan terlepas dari dipersoalkan mengenai harta, dari mana ianya perolehi dan ke mana ianya belanjakan. Sehubungan itu, setiap Muslim sewajarnya sentiasa prihatin untuk merancang dan menguruskan harta yang dimiliki agar harta yang diperolehi dan dimiliki dapat membawa kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

HARTA DARI PERSPEKTIF ISLAM

Harta (maal) dari segi bahasa bererti apa saja yang dimiliki oleh manusia. Secara amnya harta dikenali sebagi sesuatu yang dimiliki oleh seseorang individu sama ada dalam bentuk manfaat. Manakala pengertian harta menurut istilah, ulama Hanafi mendefinisikannya sebagai sesuatu yang diingini manusia dan boleh di simpan lama. Definisi ini berbeza dengan pentakrifan yang dikemukakan Syafi’i dan Hanbali yang berpendapat bahawa sesuatu itu dianggap harta jika ada nilai komersial padanya sama ada ia dalam bentuk barang atau manfaat dan boleh dikenakan ganti rugi sekiranya ia dicerobohi. Takrifan ini membawa maksud bahawa untuk menentukan sesuatu itu sebagai harta ianya memerlukan beberapa ciri, antaranya;

a. Ianya hendaklah mempunyai nilai, sama ada bentuk fizikal atau manfaat.

b. Ianya hendaklah sesuatu yang halal dan tidak najis menurut syarak.

c. Ianya hendaklah sesuatu yang boleh dimiliki. Jika sesuatu itu tidak boleh dimiliki dan dikuasai seperti ikan yang masih di laut atau burung di udara, maka ia tidak lagi dianggap sebagai harta.

KEPENTINGAN HARTA DALAM KEHIDUPAN MANUSIA

Allah SWT menciptakan harta untuk keperluan manusia. Dalam kehidupan individu, harta adalah sebagai wasilah bagi memenuhi keperluan yang dihajati. Sementara bagi masyarakat dan negara pula, harta sebagai wasilah pembangunan dan sumber kekuatan. Islam memperakui penguasaan harta ke atas diri manusia, pengaruhnya dalam kehidupan dan disanubari mereka, kerana ia merupakan tenaga yang bekerja dalam kehidupan. Justeru itu, harta dilihat sebagai paksi aktiviti ekonomi dalam masyarakat. Islam sebagai ad-din telah pun mengatur dalam sistem ekonominya cara-cara pemilikan harta serta kaedah membangun dan mengembangkannya. Oleh yang demikian, keperluan manusia kepada harta tidak dapat dinafikan. Sebagai seorang muslim, amal ibadat tidak dapat dilakukan dengan sempurna melainkan dengan harta. Masyarakat dan negara juga tidak dapat dibangunkan tanpa harta.

HUBUNGAN MANUSIA DENGAN HARTA DARI PERSPEKTIF ISLAM

Hubungan manusia dengan harta dalam syariat Islam berada di atas dasar perseimbangan yang sempurna di antara menjaga kepentingan awam dan kepentingan persendirian. Islam melihat harta sebagai suatu yang baik dan berfungsi sebagai alat yang membantu kehidupan manusia serta merupakan salah satu kurniaan Allah SWT yang besar untuk kesejahteraan manusia di dunia dan di akhirat. Ini dapat dilihat kepada prinsip-prinsip berikut;

Pertama; Manusia sebagai pemegang amanah ke atas harta kurniaan Allah

Sebenarnya harta adalah milik Allah SWT, sedangkan manusia diberi kemudahan untuk menggunakannya, dan bebas bertindak ke atas harta yang dikira menjadi miliknya; di samping terikat dengan perintah pemiliknya yang hakiki iaitu Allah SWT. Di antara tanggungjawab manusia dalam menguruskan harta yang merupakan amanah Allah ini ialah mereka diperintahkan agar menghulurkan harta yang berlebihan kepada yang memerlukan menerusi ibadah zakat dan sedekah. Sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah al-hadid, ayat 7; yang bermaksud;

Dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai khalifah padanya.

Fiman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat ke 33; yang bermaksud:

Dan berilah kepada mereka dari harta Allah Yang telah dikurniakan kepada kamu.

Kedua; Manusia dituntut memelihara dan megembangkan hartanya

Memelihara harta merupakan suatu tuntutan syarak yang termasuk di dalam daruriayat yang lima iaitu memelihara agama, jiwa, harta, kehormatan diri dan akal. Justeru, Islam melarang sebarang bentuk pembaziran, pengabaian, jenayah seperti mencuri dan sebagainya. Bahkan Islam telah mewujudkan peraturan dan hukuman yang berkaitan dengan jenayah mencuri, merompak dan pecah amanah bagi memelihara harta.

Adapun dalam aspek pelaburan dan tuntutan supaya dikembangkan harta, Baginda Rasulullah SAW telah menegaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud;

Dari Amru bin Shuaib, dari bapanya, dari datuknya, Sesungguhnya Rasulullah SAW berkhutbah kepada manusia dengan bersabda; Ketahuilah sesiapa yang menjadi penjaga kepada anak-anak yatim yang ada harta, hendaklah ia perniagakan harta itu agar tidak terhakis di makan zakat.

Maksud hadis ini, suatu perintah wajib kepada pemilik harta supaya mengembangkan hartanya dalam aktiviti-aktiviti ekonomi yang halal menurut syarak sehingga boleh memenuhi keperluan diri dan keluarganya tanpa menceroboh hak individu dan masyarakat. Islam amat benci kepada kefakiran dan menggesa umatnya supaya bekerja bersungguh-sungguh dalam membangunkan kehidupannya di dunia supaya membolehkannya mengangkat martabat dari aspek kebendaan. Dengan demikian mereka akan lebih berupaya melaksanakan kewajipan berhubung dengan tuhannya. Andai kata si pemilik harta membekukan harta tanpa dikembangkan dalam masa yang panjang, maka ia dianggap berdosa kerana mengkufuri nikmat Allah berhubung dengan harta kurniaan Allah.7

Ketiga; Harta suatu nikmat yang boleh bertukar jadi niqmah

Harta menurut pandangan Islam adalah suatu yang baik. Sehubungan itu, Islam tidak mencela harta itu sendiri. Bahkan Allah SWT melimpahkan nikmat harta itu kepada hamba-hambanya serta menerangkan pula bahawa kekayaan itu suatu nikmat Allah seperti firmannya dalam surah al-Dhuha ayat 8; yang bermaksud:

Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.

Keempat; Harta merupakan perhiasan hidup bagi manusia

Manusia memiliki kecederungan yang kuat untuk memiliki, menguasai, dan menikmati harta. Namun demikian, manusia seharusnya sedar bahawa harta yang dimiliki hanyalah merupakan perhiasan selama ia hidup di dunia. Oleh sebab harta hanyalah perhiasan hidup, harta sering kali menyebabkan keangkuhan, kesombongan, serta kebanggaan diri sebagaimana yang diungkapkan oleh Allah SWT dalam surah al-‘Alaq ayat 6-7 yang bermaksud:

Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya). Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.

Kelima; Harta merupakan bekalan ibadat

Ibadat dalam Islam terbahagi kepada tiga jenis iaitu pertama ibadat melibatkan perbuatan anggota fizikal sahaja seperti solat dan puasa. Kedua ibadat yang hanya melibatkan harta sepenuhnya seperti ibadat zakat, sedekah dan wakaf. Ketiga ialah ibadat yang melibatkan perbuatan aggota fizikal dan harta seumpama ibadat haji. Dengan memiliki harta maka seseorang dapat melaksanakan keseluruhan perintah Allah SWT, khususnya ibadat yang melibatkan harta seperti zakat, wakaf, sedekah, haji dan sebagainya. Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 41 berfirman yang bermaksud:

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah SWT (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Dalam surah Ali Imran ayat 133-134, Allah SWT berfirman yang bermaksud;

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara Yang baik;

Keenam; Islam menggalakkan umatnya supaya bekerja untuk mendapat dan memiliki harta yang halal

Pemilikan harta dalam Islam adalah tidak dilarang, bahkan Islam menyeru dan menggalakkan umatnya supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan wang atau harta. Allah SWT berfirman dalam surah al-Taubah ayat 10 yang bermaksud;

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.

Dalam bekerja dan berusaha untuk mencari wang dan harta (rezeki), Islam menuntut umatnya agar memastikan usaha dan rezeki yang diusahakan tersebut hendaklah diperolehi dari sumber yang halal. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Anas bin Malik meriwayatkan dari Rasulullah SAW bersabda; Mencari yang halal adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim.

Nak tahu lebih lanjut tentang perancangan dan perngurusan harta. Sila klik link dibawah.

RANCANG HARTA URUS PUSAKA

Published by auliyaagency.com

PERUNDING TAKAFUL REGISTERED BY HONG LEONG MISG TAKAFUL, ETIQA TAKAFUL, MEDISAVERS EHSAN, PHILLIP MUTUAL BERHAD AND WASIYYAH SHOPPE BERHAD

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: