SOLUSI HIBAH HARTA BERCAGAR

SOLUSI HIBAH HARTA BERCAGAR

Persoalan tentang hibah hartanah bercagar semakin hari semakin mendapat perhatian. Orang ramai masih keliru tentang perkara ini. Ada yang mengatakannya sebagai sah dan berkuatkuasa, ada yang mengatakannya sebagai tidak sah dan tidak berkuatkuasa. Sebelum membincangkan perkara ini dengan lebih terperinci, pembaca terlebih dahulu perlu memahami konsep pemilikan hartan dalam Islam, iaitu konsep pemilikan sempurna (milk al-tam), dan pemilikan tidak sempurna (milk al-naqis).

Konsep Permilikan Harta

Pemilikan harta dalam Islam dikategorikan kepada dua iaitu; pemilikan sempurna (milk al-tam), dan pemilikan tidak sempurna (milk al-naqis).

  1. Milk al-tam (pemilikan sempurna)

Pemilikan sempurna bermaksud seseorang memiliki fizikal dan manfaat harta tersebut secara bersama. Ibn Rajab menyatakan bahawa pemilikan ini terjadi disebabkan beberapa kaedah transaksi tertentu seperti jual beli, hibah, wasiat dan lain-lain. Melalui pemilikan yang diperolehi daripada kaedah yang disebutkan, seseorang memiliki harta tersebut secara penuh iaitu beliau milik kepada fizikal dan manfaat harta tersebut.

Orang yang mempunyai pemilikan sempurna bebas menggunakan harta dalam milikannya dan memanfaatkan barangan/harta tersebut. Tiada sekatan terhadap penggunaan harta tersebut melainkan sekatan-sekatan syara’. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengambil harta tersebut melainkan dengan kerelaan pemiliknya, atau dengan ketetapan hukum syara’ seperti jual beli, pewarisan, dan sebagainya. Pemilik harta juga berhak mendapat keuntungan dan/atau gantirugi atas harta miliknya. Pemilikan sempurna juga termasuk pemilikan ke atas manfaat harta tersebut tanpa dibatasi oleh tempoh masa. Berakhirnya pemilikan sempurna apabila pemiliknya wafat sehingga seluruh miliknya berpindah kepada ahli warisnya, atau harta tersebut rosak dan/atau hilang.

  • Milk al-naqis (pemilikan tidak sempurna)

Pemilikan tidak sempurna adalah pemilikan yang tidak memberikan hak sepenuhnya kepada pemilik harta. Antara ciri-ciri pemilikan tidak sempurna adalah seperti berikut: i. Pemilikan yang bersifat terbatas mengikut tempoh masa, dan/atau tempat;

ii. Pemilik tidak boleh mewariskan harta atau manfaat yang dimilikinya; iii. Pemilik harta hanyalah selaku pentadbir, dan/atau pemegang amanah harta tersebut; dan iv. Pemilik harta tidak bebas untuk melakukan transaksi jual beli, dan/atau gadai menggadai harta tersebut. Pemilikan tidak sempurna boleh dibahagikan kepada tiga kategori: i. Pemilikan harta sahaja tanpa manfaat (milk al-‘ain bi la manfaah), iaitu materi benda dimiliki oleh seseorang, sedangkan manfaatnya dimiliki orang lain; ii. Pemilikan manfaat sahaja (milk al-manfa’ah bi la ‘ain), iaitu seseorang hanya memiliki manfaat dari benda itu sahaja tanpa memiliki bendanya. Seseorang perlu memberi imbalan seperti sewaan; dan iii. Hak menerima manfaat (milk intifa’), iaitu seseorang menerima manfaat tetapi tidak perlu untuk memberi imbalan seperti membayar sewa, dan sebagainya.

Pemilikan manfaat ini pula wujud dalam dua (2) bentuk.

1. Pemilikan manfaat secara individu (manfaat al-syakhsi) yang bermaksud seseorang mendapat manfaat dari sesuatu harta kerana dia menyewa, atau meminjam daripada orang lain, atau dia mendapat keizinan dari pemiliknya untuk menggunakan harta atau mengambil manfaatnya.

2. Pemilikan manfaat secara bersama (hak irtifaq). Ia berlaku dalam beberapa keadaan seperti hak penggunaan air minum (haq al-syurb), hak saluran air (haq al-majra), hak membuang air sisa (haq al-maisil), dan hak lalu lintas (haq al-murur).

DEFINISI DAN KATEGORI HIBAH

Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang terhadap hartanya kepada seorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan.

Hibah terbahagi kepada dua kategori iaitu; hibah mutlak, dan hibah bersyarat. Hibah mutlak adalah pemberian milik oleh seseorang terhadap hartanya kepada seorang yang lain tanpa balasan dan tanpa apa-apa syarat tertentu. Hibah bersyarat adalah pemberian milik oleh seseorang terhadap hartanya kepada seorang yang lain tanpa balasan, tetapi disertai dengan syarat-syarat tertentu.

HIBAH HARTANAH BERCAGAR

Hibah hartanah bercagar berlaku apabila pemilik hartanah yang masih belum melunaskan keseluruhan pinjaman dengan pihak institusi kewangan dan/atau orang perseorangan yang dicagarkan hartanah tersebut kepadanya, telah menghibahkan hartanah tersebut kepada penerima hibah dengan maksud pemindahan pemilikan hartanah tersebut berkuatkuasa selepas pemberi hibah meninggal dunia.

DEFINISI HARTANAH BERCAGAR

Hartanah bercagar yang dimaksudkan dalam kertas kerja ini merujuk kepada hartanah yang didaftarkan padanya gadaian (Borang 16A Kanun Tanah Negara) bagi hartanah yang mempunyai dokumen hakmilik individu atau hakmilik strata, atau hartanah yang didaftarkan padanya surat ikatan penyerahan hak (sekuriti) (Deed of  Assignment By Way of Security ) bagi hartanah yang masih di bawah hakmilik induk (master title). Hartanah bercagar ini hanya akan dilepaskan dari gadaian dan/atau surat ikatan penyerahan hak akan hanya dibatalkan selepas peminjam (selalunya pemilik hartanah) menyelesaikan segala pinjaman yang menjadikan hartanah tersebut sebagai jaminan sekuriti atas pinjaman yang diluluskan oleh sesebuah institusi kewangan, atau orang perseorangan. Justeru, pemilik hartanah bercagar tidak boleh melakukan transaksi pindahmilik ke atas hartanah bercagar selagi mana pinjamannya tidak diselesaikan. Kekangan atau halangan ini adalah bagi menjamin keselamatan pinjaman yang dilepaskan oleh pihak pemegang gadaian, atau penerima serah hak (donee).

KONSEP CAGARAN SEBAGAI JAMINAN HUTANG

Secara umumnya konsep cagaran ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. dalam al-Quran dimana terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira semasa melakukan transaksi hutang. Bagi menjaga kemaslahatan kedua-dua belah pihak, hutang tersebut hendaklah dicatit atau mengadakan saksi. Namun, jika terdapat kesulitan untuk menulis hutang tersebut atau mengadakan saksi, maka cagaran merupakan satu alternatif lain bagi menggantikan catatan dan penyaksian tersebut. Ini seperti firman Allah S.W.T.: Maksud: Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang cagaran untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). (Al-Quran: 2: 283).

PANDANGAN MAZHAB SYAFIE DAN HAMBALI

Berdasarkan perbincangan di atas, persoalan utama yang timbul dalam kes hibah hartanah bercagar adalah tentang persoalan pemilikan harta pemberi hibah, iaitu dikategorikan sebagai pemilikan tidak sempurna (milk al-naqis). Atas asas ini, maka mazhab Syafie, dan Hambali menganggap hibah hartanah bercagar adalah tidak sah lantaran elemen qabd, dan tasarruf juga gagal dipenuhi dalam syarat luzum hibah bersama ijab dan kabul. Tasarruf ialah sesuatu perbuatan yang mendatangkan kesan syarak terhadap sesuatu seperti jual beli, hibah, wakaf, dan sebagainya. Pandangan ini juga menyatakan bahawa hartanah bercagar merupakanwathiqah yang berada di bawah kuasa pemegang gadaian.

 Oleh itu, hibah yang dilakukan ke atas hartanah bercagar dianggap sebagai sesuatu yang tidak memenuhi syarat pembentukan akad kerana dilakukan oleh orang yang tiada kelayakan untuk berbuat sedemikian.

PANDANGAN MAZHAB MALIKI DAN HANAFI

Walau bagaimanapun, terdapat ulama’ yang membenarkan hibah bagi hartanah yang milik orang lain, asalkan mendapat kebenaran pemilik hartanah tersebut. Keizinan pemilik hartanah tersebut pula tidak semestinya semasa akad hibah, tetapi boleh berlaku selepas ijab dan kabul. Kelayakan (wilayah) merupakan syart al-nafadz yang boleh ditangguhkan hingga mendapat keizinan pemegang cagaran dan ia bukan sebagai syarat pembentukan akad. Sebagai contohnya, ulama’ mazhab Hanafi membenarkan perkara ini dan hal ini telah disebut secara jelas dalam perkara 857 Majallah al-Ahkam al-Adliah seperti berikut:

Thing must be property of donor. “It is a condition that the thing given be the property of the donor. Therefore, if someone, without leave, gives the property of another to a third person, it is not good gift. But if, after the gift has been made, the owner of the property allows it, the gift is good.”

 Klausa ini boleh difahami sebagaimana berikut: “Barang yang hendak dihibahkan mestilah milik pemberi hibah. Jika seseorang memberi hibah barang kepunyaan orang lain tanpa izin pemiliknya, hibah tersebut tidak sah. Walau bagaimanapun, jika setelah berlaku akad hibah, pemilik barang mengizinkannya, hibah tersebut sah.” Berdasarkan klausa di atas, ada yang berhujah bahawa hibah hartanah bercagar adalah dibolehkan. Hartanah bercagar masih bukan milik sempurna tuannya. Ada pihak ketiga yang berkepentingan iaitu penerima cagaran, selalunya institusi kewangan. Tetapi hibah masih sah, jika pihak institusi kewangan memberi kebenaran walaupun lama selepas akad hibah dibuat. Institusi kewangan akan bagi kebenaran selepas proses tebus hutang selesai. Tebus hutang boleh berlaku dengan sebab adanya takaful atau insuran yang melindungi hutang peminjam (selalunya pemilik hartanah) yang meninggal dunia.

Jadi, situasi tentang hibah hartanah bercagar ini sudahpun diakui sah sejak 1869 lagi apabila Majallah ini dikodifikasikan.

Oleh itu, bagi memudahkan pemilik harta tersebut membuat hibah. Pihak Wasiyyah Shoppe Bhd telah mengeluarkan satu produk Perancangan Harta bagi menyempurnakan hasrat Pemberi Hibah untuk mmenghibahkan harta bercagar mereka kepada penerima hibah yang bernama “HIBAH HARTANAH BERCAGAR”.

Untuk mengetahui dengan lanjut tentang produk ini serta kos yang dikenakan sila isikan borang dibawah:

Published by auliyaagency.com

PERUNDING TAKAFUL REGISTERED BY HONG LEONG MISG TAKAFUL, ETIQA TAKAFUL, MEDISAVERS EHSAN, PHILLIP MUTUAL BERHAD AND WASIYYAH SHOPPE BERHAD

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: