HARTA! PUSAKA ATAU PUAKA?

HARTA pusaka adalah antara isu yang sering membelenggu masyarakat Islam ketika ini. Disebabkan harta pusaka, terdapat keluarga yang bermusuhan sesama sendiri, malah ada yang mengambil jalan bersalahan dengan undang-undang demi mendapatkan harta pusaka.

Dalam banyak keadaan harta pusaka menjadi harta yang berpuaka pula!

Masyarakat Islam di Malaysia khususnya orang Melayu amat sensitif tentang pemegangan harta ini. Mungkin kerana inilah jalan mudah memiliki harta tanpa perlu bersusah-payah untuk berusaha. Segala usaha dilakukan oleh si mati diwarisi mereka kerana mereka adalah waris yang tinggal dan layak mewarisinya.

Realitinya adakah kita semua tahu dan faham ilmu dan sistem faraid ini? Kita sering terlupa bahawa Islam mementingkan keadilan dan meletakkan tanggungjawab yang lebih kepada golongan lelaki.

Dalam Islam, waris lelaki diberi tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan seperti mengurus harta serta membantu saudara mara yang susah menggunakan harta pusaka tersebut.

Walaupun lelaki mewarisi sekali ganda daripada hak wanita, namun hakikatnya kaum Adam mesti bertanggungjawab atas kebajikan kaum Hawa tersebut. Pihak lelaki diberikan lebih kerana mereka perlu melaksanakan tanggungjawab kepada pihak lain yang berkenaan. Namun begitu wanita diberikan hak faraid semata-mata untuk dirinya sahaja. Tiada orang lain boleh memaksa beliau cara bagaimana untuk menguruskan hartanya.

RAMAI JADI ALPA

Namun persoalannya berapa ramai waris lelaki yang sanggup membantu saudara mara waris wanita mereka setelah menerima bahagian pusaka yang lebih besar? Acap kali kita dengar terdapat golongan yang masih belum berupaya berdiri di atas kaki sendiri walaupun mereka mempunyai adik-beradik lelaki yang berkemampuan.

Perkara yang lebih menyedihkan ialah ramai masih tidak faham sistem faraid yang diamalkan dalam kalangan orang Islam.

Pernah diuar-uarkan dalam media dianggarkan lebih RM40 bilion aset beku milik orang Islam di Malaysia tidak dapat diagihkan kepada pewaris akibat kegagalan ibu bapa merancang pewarisan harta benda mereka kepada anak-anak. Akibatnya banyak kes-kes melibatkan tuntutan harta pusaka ini terpaksa dibawa ke mahkamah dan tidak dapat diselesaikan dengan segera.

Apabila kes tersebut tidak dapat diselesaikan dengan segera terdapat ahli waris yang dinafikan hak mereka daripada menikmati kelayakan yang diberikan kepada mereka. Adakalanya sudah beranak cucu barulah isu faraid datuk dan nenek mereka dapat diselesaikan.

Timbul pertelingkahan dalam penyelesaian harta pusaka kerana ada yang menimbulkan isu kelewatan, pembahagian dan banyak lagi. Akibat daripada pertelingkahan ini berlakulah perpecahan dan pertelingkahan sesama keluarga waris.

Ia menjadikan orang Melayu dan orang Islam sesama keluarga tidak bersatu dan bermusuhan sesama sendiri kerana merebut harta si mati.

ALTERNATIF

Situasi sedih begini boleh dielakkan jika orang Islam menghayati sistem faraid yang sebenar, di samping mengenali kaedah lain yang dibenarkan oleh Islam dalam menguruskan harta mereka ketika masih hidup lagi. Pengurusan harta bukan hanya bermula setelah berlaku kematian sahaja tetapi ketika pemilikan harta itu sendiri.

Orang Islam tidak seharusnya membebankan waris-waris berebut harta setelah kematiannya.

Islam sebenarnya telah menganjurkan berbagai kaedah untuk merancang masa depan harta benda supaya ia mendapat keberkatan Allah SWT kepada para waris dan bagi mengelak berlakunya pertelingkahan merebut harta apabila kita mati kelak.

Selain faraid terdapat berbagai cara lain dalam Islam yang membolehkan kita memilih dan merancang secara bijak harta kita seperti hibah, amanah, wakaf, wasiat, harta sepencarian, wakil, penamaan dan banyak lagi.

Kaedah-kaedah ini yang tidak bertentangan dengan hukum syarak boleh diambil bagi memastikan orang tersayang mendapat manfaat segera daripada harta yang ditinggalkan.

Namun begitu setiap instrumen yang disebutkan itu mempunyai matlamat dan objektifnya yang berlainan. Terpulang kepada pemilik harta untuk memilih instrumen bersesuaian dalam pembahagian harta.

Buat masa ini Amanah Raya Berhad ialah organisasi yang menjadi pelopor kepada pengurusan harta ini khususnya bagi orang Islam.

Antara instrumen yang biasa dilakukan orang Islam di Malaysia ialah hibah, wasiat, amanah dan wakalah.

  • Hibah – Memberi milik sesuatu harta yang sah untuk dijual atau diberi hutang kepada seseorang oleh seseorang dengan tiada barang tukaran. Pengertian hibah adalah luas dan ia termasuk memberi hadiah atau sedekah.
  • Wasiat – Berbeza dari hibah kerana wasiat hanya berkuat kuasa selepas kematian pewasiat. Wasiat pula secara umumnya tidak boleh diberikan kepada ahli waris yang layak menerima faraid dan tidak boleh dibuat melebihi satu per tiga daripada keseluruhan harta tinggalan si mati. Ahli waris, selepas kematian pewasiat perlu bersetuju jika syarat di atas ingin diatasi.
  • Surat Ikatan Amanah – Instrumen yang mewujudkan ikatan undang-undang antara Pemberi Amanah, Pemegang Amanah dan Penerima Amanah.

* Segala terma-terma dan tanggungjawab Pemegang Amanah akan dinyatakan secara jelas dalam Surat Ikatan Amanah tersebut.

* Jika Pemegang Amanah gagal, cuai atau menyalah guna tugas yang diamanahkan, maka pihak Benefisiari boleh mengambil tindakan kepadanya.

  • Surat kuasa wakil (wakalah) – Satu dokumen yang diiktiraf undang-undang sebagai instrumen memberi kuasa kepada wakil tersebut melaksanakan tugas-tugas di bawah Akta Surat Kuasa Wakil 1949. Surat wakil ini terdiri daripada dua jenis iaitu Surat Wakil Terhad dan Surat Wakil Tidak Terhad.

* Surat Kuasa Wakil ini sangat bermanfaat dalam kes melibatkan individu yang berada di luar negara, orang tak berkeupayaan atau mereka yang mempunyai keperluan lain.

Terdapat banyak instrumen lain yang boleh dibuat oleh orang Islam tetapi cukuplah saya menerangkan empat kaedah di atas bagi memberi idea kepada pembaca tentang perancangan harta.

Islam ialah agama yang mementingkan perancangan kehidupan dan perancangan waktu. Oleh itu rancanglah pengurusan harta anda mengikut jalan yang telah disediakan Islam untuk ditinggalkan kepada orang tersayang.

Rancang Harta & Urus Pusaka kini lebih tepat & mudah…

Klik di sini untuk keterangan lanjut

Published by auliyaagency.com

PERUNDING TAKAFUL REGISTERED BY HONG LEONG MISG TAKAFUL, ETIQA TAKAFUL, MEDISAVERS EHSAN, PHILLIP MUTUAL BERHAD AND WASIYYAH SHOPPE BERHAD

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: