Hibah Permudahkan Urusan Harta Pusaka

Kenapa hibah memudahkan proses pengurusan harta pusaka?

Setelah dipaparkan secara ringkas mengenai konsep hibah sebagaimana perbincangan di atas maka kita dapati bahawa hibah merupakan suatu bentuk atau instrumen perancangan harta semasa hidup yang diberi perhatian oleh Islam. Namun demikian, perlu diingat bahawa selain dari hibah terdapat beberapa instrumen lain dalam perancangan harta semasa hidup seperti wakaf, wasiat, sedekah, hadiah dan sebagainya. Walau bagaimanapun, instrumen hibah mempunyai keistimewaannya yang tersendiri sebagai instrumen perancangan harta semasa hidup berbeza dengan instrumen-intrumen lain, lebih-lebih lagi dalam suasana kehidupan hari ini. Antara kelebihan, kepentingan dan kewajaran mengapa instrumen hibah dilihat sebagai satu instrumen yang perlu diberi perhatian semasa membuat perancangan harta adalah seperti berikut:

(a) Pemberian harta secara hibah dianjurkan oleh Islam

Sebagaimana perbincangan yang dipaparkan sebelum ini didapati bahawa hibah merupakan suatu yang dianjurkan oleh Islam sama ada anjuran itu melalui ayat-ayat alQuran atau hadis. Justeru pandangan sinis sebahagian masyarakat Islam bahawa pemberian harta secara hibah bertujuan mengelakkan pembahagian harta secara faraid adalah tidak tepat berdasarkan dalil-dalil yang telah dinyatakan. Ini kerana Islam telah memberi peluang kepada pemilik harta semasa hidupnya melakukan apa-apa bentuk perancangan harta selama mana tidak bercanggah dengan hukum syarak. Perlu diingat bahawa pembahagian harta secara faraid hanya berlaku jika si mati ada meninggalkan harta yang bakal diwarisi oleh waris-warisnya. Jika si mati tidak meninggalkan harta disebabkan hartanya telah dilupuskan semasa hayatnya maka hukum hakam berkaitan pusaka mempusakai tidak akan berlaku.

(b) Pemberian harta secara hibah boleh memupuk perasaan kasih sayang dan mengeratkan hubungan silaturrahim

Jaminan bahawa pemberian harta secara hibah boleh memupuk kasih sayang antara pemberi dan penerima telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana yang terdapat dalam hadis yang dinyatakan sebelum ini. Justeru pemilik harta boleh memberikan hartanya secara hibah kepada sesiapa sahaja terutamanya mereka yang dekat hubungan dengan pemberi hibah seperti anak, isteri atau suami, ibu bapa, anak angkat dan lain-lain bagi menzahirkan lagi kasih sayang antara mereka. Apa yang penting, kezahiran kasih sayang ini dapat dipupuk samasa pemberi dan penerima hibah masih hidup lagi tidak sebagaimana wasiat.

(c) Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja

Hibah berbeza dengan pembahagian harta secara faraid kerana yang layak mendapat harta pusaka adalah waris-waris si mati sahaja. Begitu juga hibah berbeza dengan wasiat kerana wasiat hanya boleh dibuat kepada bukan waris sahaja. Namun hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh pemberi hibah sama ada ia merupakan waris atau bukan waris. Selain itu hibah juga boleh diberikan kepada non Muslim bagi tujuan mengeratkan hubungan silaturrahim dan bukan untuk tujuan maksiat

(d) Kadar harta yang dihibahkan tiada had

Kadar harta yang hendak dihibahkan kepada penerima hibah tiada had atau terpulang kepada pemberi hibah bergantung kepada kemampuan dan kehendaknya. Hal ini tidak sama dengan wasiat, di mana harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi kadar 1/3 harta pusaka. Manakala pembahagian harta mengikut faraid pula adalah berdasarkan ketentuan dan ketetapan yang telah ditetapkan oleh hukum syarak. Justeru, kita dapati bahawa hibah memberi kebebasan kepada pemilik harta untuk menentukan kadar atau bahagian harta yang hendak dihibahkan dengan memberi pertimbangan kepada keperluan hidup dan kehendak semasa penerima hibah.

(e) Pemanfaatan harta boleh dilakukan secara terus dan semaksimum mungkin

Islam membenarkan umatnya memiliki harta kekayaan bagi tujuan memakmurkan bumi Allah dengan cara yang terbaik sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Namun demikian, manfaat sesuatu harta yang dimiliki tidak boleh digunakan semaksimum mungkin apabila harta itu hanya dikumpulkan dan tidak dimanfaatkan secara total disebabkan faktor usia, kesibukan dan penyakit. Justeru, instrumen hibah boleh menangani masalah ini dengan baik di mana harta yang dihibahkan boleh terus dimanfaatkan oleh penerima hibah ketika pemberi hibah masih hidup. Jika pemilik harta membuat wasiat atau hanya menunggu hartanya difaraidkan selepas kematian maka pemanfaatan harta secara terus belum tentu dapat dilakukan atas beberapa faktor seperti karenah pentadbiran (birokrasi) dalam pembahagian harta pusaka, pertelingkahan di kalangan waris, kesahan wasiat dan sebagainya yang akhirnya menyebabkan sesuatu harta itu terbiar.

(f) Pemberian harta secara hibah mengikut kesesuaian status penerima hibah

Walaupun hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki olen pemberi hibah, namun jika dilihat dari sudut perancangan harta secara terancang maka wajar mengambil kira status penerima hibah dari segi ekonomi atau sosial. Dengan ini, pemberi hibah berhak menentukan sendiri kepada siapa hartanya hendak dihibahkan dan berapa kadar yang sesuai untuk dihibahkan dengan mengambil kira status ekonomi dan keperluan semasa penerima hibah. Di samping itu, faktor tanggungjawab, peranan dan sumbangan juga boleh diberi pertimbangan dalam menentukan penerima hibah dan kadar atau bahagian harta yang hendak dihibahkan.

Merujuk kepada fakta kes Muhammad Awang & yang lain lwn Awang Deraman & yang lain [2004] CLJ (Sya) 139, si mati, iaitu responden pertama semasa hayatnya telah menghibahkan dua bidang tanah miliknya kepada responden kedua dan ketiga, iaitu anak-anaknya. Selepas kematian responden, perayu-perayu, yang merupakan anak-anak si mati yang lain telah mempertikaikan kesahan hibah tersebut atas alasan antaranya pembahagian tersebut tidak adil kerana dibuat secara tidak sama rata. Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pemberian tersebut walaupun kelihatan tidak adil tetapi merupakan sesuatu yang sah hukumnya. Hakim Daud Muhammad dalam menyampaikan penghakiman mahkamah berkata (Rusnadewi Abdul Rashid & Nor Hisyam Ahmad 2013: 100)

“Pada zahirnya, hibah yang dilakukan oleh gemulah (si mati) menempatkan sesuatu tindakan yang kurang adil kerana mengetepikan kepentingan sebahagian anaknya. Tetapi pada hakikatnya mungkin ada sebab-sebab yang munasabah, gemulah (si mati) dan Allah sahaja yang lebih mengetahui”

(g) Harta yang dihibahkan oleh ibu bapa (termasuk datuk dan nenek) kepada anak-anak boleh ditarik balik atau dibatalkan

Sesuatu pemberian harta secara hibah secara umumnya tidak boleh ditarik balik atau dibatalkan setelah ia memenuhi kesemua rukun dan syarat hibah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

ُ يد ائَ عْ لَ ا  ي ف  ي يه تَ يب ه  ي بْ لَ الك َ ك  ُ يئ قُ ي  َُّ ث  ُ دْ وُ عَ ي   ي ف  ي يه ئْ يَ ق  )متفق عليه( Maksudnya: “Orang yang menarik kembali hibahnya adalah sama seperti seekor anjing yang muntah kemudian ia menjilat kembali muntahnya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun demikian, pemberian harta secara hibah oleh ibu bapa kepada anak-anak atau datuk dan nenek kepada cucu-cucu boleh ditarik balik sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

ُّ يلَ  يََلا ٍ لُجَ ير ل  ٍ يم لْ سُ م  ْ نَ أ ى ي طْ عُ ي

ةَّ يي طَ ع  ْ وَ أ  َ بَ هَ ي

ةَ يب ه  ُ يع جْ رَ يَ ف   ْ يي ف ا َ ه  َّ يلا إ  ي يد الَ وْ ال ا َ مْ يي ف ى ي طْ عُ ي   ي يه دَ لَ يو ل

Maksudnya: “Tidak halal seseorang lelaki muslim yang memberi sesuatu pemberian atau hibah maka ditarik kembali pemberian atau hibah tersebut kecuali pemberian atau hibah seorang bapa kepada anaknya” (Hadis riwayat Abu Dawud).

Dari hadis ini, ulama’ memperluaskan maksud bapa di mana sebarang hibah atau pemberian usul kepada furuc boleh ditarik balik. Usul termasuk ibu, bapa, datuk dan nenek ke atas, sementara furuc termasuk anak dan cucu ke bawah. Kebenaran penarikan balik hibah yang dibuat oleh usul kepada furuc merupakan suatu keistimewaan yang diberikan oleh Islam. Ini kerana ibu bapa lebih memahami situasi dan perkembangan anak-anak mereka.

(h) Pemberian harta secara hibah boleh dilakukan tanpa pindah milik harta dalam dokumen hakmilik (geran)

Sesuatu hibah dianggap sah jika telah memenuhi rukun dan syaratnya. Justeru perlu dibezakan antara al-qabd dan pindah milik harta atau pertukaran nama pada dokumen hakmilik (geran). Ada sesetengah pihak beranggapan bahawa sesuatu pemberian harta secara hibah tidak sah jika pertukaran nama pada dokumen hakmilik tidak dilakukan. Keadaan ini disebabkan mereka tidak dapat membezakan antara al-qabd dan pindah milik harta atau pertukaran nama pada dokumen hakmilik (geran). Al-Qabd ialah penyerahan harta hibah daripada pemberi hibah kepada penerima hibah. Dengan berlakunya al-qabd, maka penerima hibah boleh menguasai dan menguruskan harta berkenaan setelah diizinkan oleh pemberi hibah. Oleh yang demikian, pindah milik harta atau pertukaran nama pada dokumen hakmilik (geran) adalah pilihan kepada pemberi hibah dan bukannya syarat untuk mengesahkan sesuatu hibah.

Dalam situasi sekarang di mana keperluan harta semakin mendesak dan kepercayaan semakin terhakis, maka adalah wajar sesuatu pemberian harta secara hibah tidak disusuli dengan pertukaran nama pada dokumen hakmilik (geran). Pertukaran nama atau pindah milik boleh dilakukan selepas kematian pemberi hibah semasa pembahagian harta pusaka dilakukan. Walau bagaimanapun dokumen hibah perlu dibuat secara jelas atau bertulis supaya tidak berlaku sebarang pertikaian selepas kematian pemberi hibah.

Selain itu, penyediaan dokumen hibah lebih menjimatkan kos berbanding dengan pertukaran nama atau pindah milik harta yang dibuat semasa pemberi hibah masih hidup. Ini kerana kos pindah milik harta yang dibuat semasa hidup lebih tinggi berbanding dengan kos turun milik (pembahagian harta selepas kematian). Di samping itu, proses penarikan balik hibah yang dibuat oleh ibu bapa kepada anak-anak adalah lebih mudah jika namanya masih kekal pada dokumen hakmilik. Jika pindah milik harta atau pertukaran nama telah berlaku maka penarikan balik hibah perlu melalui Mahkamah Syariah bagi tujuan mendapatkan perintah penarikan balik hibah supaya pihak pentadbiran seperti pejabat tanah menukar kembali nama pada dokumen hakmilik berkenaan. Keadaan lebih menyukarkan terutamanya apabila harta telah dilupuskan oleh penerima hibah seperti penerima hibah telah memberi atau menjual harta berkenaan kepada pihak lain. Di samping itu, proses mahkamah juga mengambil masa dan orang awam biasanya kurang memahami prosedurnya.

Golongan yang kritikal memerlukan perancangan hibah

1 Pasangan suami Isteri yang membeli rumah secara bersama ( 2 nama SNP/Joint Loan)

2 Pasangan yang mempunyai anak perempuan sahaja

3 Pasangan yang mempunyai anak angkat

4 Pasangan yang berkahwin tetapi belum dikurniakan cahaya mata selepas sekian lama

5 golongan yang berpoligami

6 Pasangan yang masih mempunyai ibu dah ayah

7 Golongan yang sekian lama membujang

8 Golongan yang mempunyai anak lelaki dan perempuan

9 Pasangan yang mempunyai anak OKU

10 Individu yang berkahwin semula selepas kematian pasangan

11 Individu yang akan menunaikan ibadah Umrah dan Haji

12 Ahli perniagaan

 

Published by auliyaagency.com

PERUNDING TAKAFUL REGISTERED BY HONG LEONG MISG TAKAFUL, ETIQA TAKAFUL, MEDISAVERS EHSAN, PHILLIP MUTUAL BERHAD AND WASIYYAH SHOPPE BERHAD

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: